love

Wednesday, 26 September 2012

Kisah Asiyah, Isteri Firaun


Alhamdulillah, usrah di kediaman Nida membincangkan tajuk tentang 'Peranan Wanita', hasil kupasan dari Puan Aryati, IKRAM Seremban.  

Terdapat 4 wanita mulia yang disebut oleh Puan Aryati, iaitu Maryam binti Imran, Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad dan Asiyah binti Muzahim.  Biarpun nama Asiyah tidak disebut secara jelas di dalam alQuran, tetapi Allah merujuknya sebagai 'Isteri Firaun' di dalam alQuran.

Asiyah binti Muzahim adalah seorang wanita muslimah yang tinggal di dalam istana Firaun, iaitu Ramses II, yang mengakui dirinya sebagai Tuhan.  Pelik, beliau tidak mempercayai kewujudan dan kekuasaan Tuhan, tetapi sibuk mengakui dirinya sendiri sebagai Tuhan.

Di dalam perkongsian mengenai tajuk 'Istidraj' di sesi usrah bersama Puan Anfaal Saari, dikhabarkan bahawa Firaun ini tidak pernah sakit, tidak pernah susah.  Lalu beliau menganggap dirinya hebat.  Inilah istidraj, orang yang tidak pernah di duga dengan kesusahan apa jua sekalipun.  

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda, "Jika Allah mahu memberi kebaikan kepada seseorang, maka Dia akan menduganya dengan ujian".  Sahih Bukhari.

Berbalik kepada kisah Asiyah.  Di antara nama-nama yang diberikan kepadanya ialah Isnofret dan Asit.  Beliau adalah seorang yang beriman kepada Allah, sangat kuat beribadah, penyayang, sanggup berkorban, teguh keimanan, bijaksana dan lemah lembut.

Dari segi fizikalnya pula, beliau adalah seorang yang sangat rupawan dan menjadi sebutan dan rebutan pemuda di zamannya.  Maka, tidak hairanlah Firaun juga tertarik kepadanya.

Pastinya kedengaran aneh.  Bagaimana pula seorang wanita yang sangat mentaati Tuhan Yang Satu sanggup mengahwini manusia sehina dan sedangkal Firaun?  Jelas Firaun itu seorang yang terang-terangan mensyirikkan Allah, enggan mematuhi hukum Allah, malah mengakui diri Tuhan pula!

Kisahnya bermula bilamana Firaun yang tertarik dengan kecantikan Asiyah telah mengutuskan pengikutnya, bertujuan untuk memperisterikan Asiyah.  Firaun ketika itu memiliki 8 orang isteri, 3 daripadanya adalah anaknya sendiri, manakala seorang daripadanya adalah adiknya sendiri!  Astagfirullah!

Asiyah menolak dengan beraninya pinangan itu, lalu utusan itu kembali dengan hati yang gentar untuk menyampaikan berita yang tidak menggembirakan.  Firaun marah, lalu mengarahkan agar ibubapa Asiyah ditangkap, diseksa dan dikurung di penjara.

Asiyah kemudian di bawa untuk melawati ibubapanya yang sedang diseksa di penjara.  Tidak tahan melihatkan itu semua, maka Asiyah bersetuju untuk mengahwini Firaun dengan beberapa syarat.

Syarat-syarat perkahwinan itu adalah:
1.  Ibubapa Asiyah mesti dibebaskan.
2.  Mesti menyediakan rumah yang lengkap untuk kedua ibubapanya.
3.  Ibubapa Asiyah mesti dijaga sehingga mereka meninggal dunia.
4.  Asiyah adalah isteri di majlis rasmi sahaja.
5.  Asiyah tidak akan sesekali meniduri Firaun.

Firaun yang tergila-gilakan Asiyah segera bersetuju dengan syarat-syarat yang dikemukakan.  Di istana, Asiyah bertemu dengan Mashitah, penyisir rambut anak Firaun.  Mereka berkenalan dan tahulah masing-masing bahawa Asiyah dan Mashitah mentaati Tuhan Yang Satu, bukannya Firaun.

Pada suatu hari, Mashitah menyuarakan rasa tidak percayanya terhadap ketaatan Asiyah terhadap Allah kerana Asiyah itu mengahwini Firaun.  Lalu Asiyah menceritakan bahawa dia tidak pernah meniduri Firaun.  Dengan penuh kesungguhan dan keyakinan kepada Allah, Asiyah memohon perlindungan daripadaNya agar dijauhi dari gangguan Firaun ketika di istana itu.  Allah menjadikan seekor syaitan betina yang menyerupai Asiyah sebagai pengganti tempat tidurnya bersama Firaun.

Asiyah berperanan sebagai penyelamat Nabi Musa.  Apabila Allah mengilhamkan kepada ibu Musa untuk menghanyutkan bayinya di Sungai Nil, ibunya mengutuskan saudaranya untuk mengikuti bakul berisi Musa itu.  Beliau mendapat tahu bahawa bakul itu selamat tiba di istana milik Asiyah, yang disediakan Firaun khas untuk Asiyah, berhampiran Sungai Nil.

Firaun yang terkejut apabila mendapati seorang bayi lelaki tiba di istana Asiyah itu segera mahu membunuhnya.  Asiyah meyakinkan Firaun bayi itu tidak merbahaya dan mencadangkan agar mereka menjadikannya sebagai anak angkat, memandangkan mereka tiada anak.  Firaun lalu bersetuju dan menamakan bayi itu sebagai Musa.

Oleh kerana Asiyah tidak dapat menyusui bayi itu, beliau telah mengerahkan pencarian ibu susuan.  Musa telah diilhamkan oleh Allah agar hanya memilih ibunya sendiri sebagai ibu susuannya, lalu mereka tidak berpisah lagi.

Ketika Musa masih bayi, Firaun akan sentiasa mendukungnya ke sana ke mari.  Suatu hari, Musa yang masih bayi telah menarik janggut Firaun sehingga Firaun kesakitan.  Firaun terus teringatkan ramalan tentang bayi lelaki yang akan menghancurkan kerajaannya, lalu terfikir untuk membunuh Musa.

Asiyah dengan penuh kebijaksanaan membuat suatu ujian untuk membuktikan kepada Firaun bahawa Musa hanyalah bayi biasa yang tidak mengerti apa-apa.  Diletakkan batu permata di satu bahagian dan bara api di bahagian yang lain, lalu Musa dilepaskan untuk memilih.

Musa yang ketika itu masih merangkak sebenarnya mahu menuju ke arah batu permata, tetapi dihadang malaikat, lalu Musa mengambil seketul bara api dan dimasukkan ke dalam mulutnya.  Ini untuk membuktikan kata-kata Asiyah bahawa Musa hanyalah bayi biasa.

Lalu, Musa membesar dengan sedikit kecatatan di lidahnya dan menyebabkan kesukaran baginya untuk berbicara.  Saudaranya yang akan menjadi penterjemah.

Ketika Nabi Musa sudah dewasa, Musa telah membunuh Fatun, seorang pengikut Firaun.  Firaun telah murka dan ingin membunuhnya, lalu Asiyah mengarahkan agar Musa melarikan diri jauh dari negara jajahan Firaun.

Nukilan Asiyah telah dirakamkan oleh Allah di dalam kitab alQuran, yang bermaksud:

"Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim"
Surah At-Tahrim, ayat 11

Hebatnya Asiyah, sanggup tinggal di kalangan manusia-manusia hina dan keji kerana yakin akan ganjaran istana yang hebat di syurga Allah nanti.  Imannya tidak pernah goyah dengan sogokan kemewahan yang dilemparkan oleh Firaun.

Asiyah adalah salah seorang tokoh wanita yang patut dijadikan contoh ikutan.  Beliau tegas dalam mentauhidkan agama, tetapi masih lemah lembut tingkah laku dan tuturkatanya.  Imannya masih teguh dan utuh, biarpun hidup di dalam istana yang dikelilingi manusia-manusia yang kufur kepada Allah.  Dilimpahi dan dikelilingi kemewahan dunia, namun tidak sedikitpun goyah keimanannya.  Beliau juga adalah seorang ibu yang membesarkan dan mendidik seorang anak yang berstatus nabi dan rasul.  Contoh terbaik 'alMukhlisin' dan pergantungan terhadap Allah yang sangat kuat.

Setelah Musa secara terang-terangan berdakwah, Asiyah dengan penuh berani mengakui keimanannya hanyalah kepada Allah.  Firaun lalu berang dan menyiksa Asiyah di penjara.  Asiyah di ikat di empat batang tiang lalu disebat dan dipukul.  Tetapi, imannya masih kukuh dan utuh.

Firaun yang kepenatan meninggalkan Asiyah di tempat seksaan, lalu datanglah malaikat menaungi Asiyah daripada panas mentari.  Asiyah meninggalkan dunia dalam keadaan tersenyum, kerana Allah melihatkannya istana yang dijanjikan di syurga.

Wallahu'alam.  Dialu-alukan sebarang pembetulan.  Terima kasih :)

------------------------ SomethingFarwinaHasToSay
 
----copy from kak wina

0 comments:

nICe Red!!